Tuesday, June 16, 2009

Isu rasuah MRR2 kusutkan BN Terengganu

Bekas Ahli Parlimen Bachok, Al-Marhum Ustaz Buniyamin Yaakub selalu mengibaratkan seseorang yang dilanda malang bertimpa seumpama seorang yang jatuh tersungkur ke tanah. Dalam usahanya bangkit, kainnya terloroh. Belum sempat diperbetulkan kilasan kain itu, tangannya pula terkena tahi ayam. Akhirnya, tidak ada yang dapat dilakukan si malang itu, melainkan meraung meminta tolong.

Meski pun agak melucukan, perumpamaan tersebut mudah difahami terutama oleh anggota masyarakat yang tinggal di kampung. Realiti hidup di sana memungkinkan anda mengalami nasib malang digambarkan itu.

Andaian itu malah agak tepat jika mahu digambarkan perihal tekanan dihadapi seseorang yang dilanda malang bertimpa sehinggakan mati akal memikirkan penyelesaiannya.

Dalam kes yang tidak begitu jauh realitinya dengan perumpamaan berkenaan, apa yang dialami Barisan Nasional (BN) Terengganu sejak beberapa bulan kebelakangan ini boleh dianggap malang bertimpa bagi parti berkenaan, khususnya Umno negeri.

Tidak perlu kita mengundur jauh ke belakang. Tidak usah diperkatakan lagi soal perebutan kuasa dan kemelut dalaman Umno Terengganu ekoran perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar, tahun lalu.

Cukup sudah jika kita mulakan dengan isu khidmat pesanan ringkas (sms) berbau ugutan yang diterima tiga Adun BN negeri pertengahan April lalu. Sedari awal tercetusnya isu berkenaan, ia telah memalitkan imej negatif terhadap BN negeri.

Meski pun pada awalnya tohmahan dihalakan kepada Ahmad sebagai dalang dan pihak bertanggungjawab mengugut tiga Adun berkenaan, siasatan kemudiannya mendedahkan sebaliknya. Orang yang didakwa bertanggungjawab ialah bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Idris Jusoh, orang utama dalam pertembungan dengan Ahmad.

Episod itu sekaligus membuktikan banyak perkara. Antaranya betapa permusuhan antara para pemimpin BN Terengganu tidak pernah padam meski pun cuba diselindungi di sebalik kenyataan-kenyataan manis kedua-dua pihak.

Kedua, kedengkian dan usaha menjatuhkan musuh memungkinkan pemimpinnya menggunakan apa juga taktik dan cara, termasuk mengugut dan memfitnah.

Keadaan selepas itu kelihatan sedikit menyebelahi Ahmad. Beliau bukan sahaja terlepas dari cubaan usul undi tidak percaya di sidang Dun, malah turut dibersihkan nama dari tohmahan sebagai dalang sms ugutan tersebut.

Ahmad dan rakan-rakan pemimpin Umno Terengganu dari kemnya yang kelihatan amat selesa dengan terdedahnya orang sebenar bertanggungjawab dalam isu itu bagaikan mendapat �peluru tambahan� untuk membedil kem Idris apabila berlakunya insiden bumbung stadium runtuh, dua minggu lalu.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kira-kira 15 kilometer di pinggir utara bandar raya Kuala Terengganu. Jiran terdekatnya ialah Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Keseluruhan kompleks tersebut baru siap dibina kira-kira setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Ada laporan mencatatkan kos pembinaannya RM660 juta. Ada juga pihak mendakwa kos sebenar dihabiskan adalah lebih besar.

Apa pun, yang disepakati pelbagai laporan, kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Menurut rekod, pembinaannya bermula pertengahan 2005 dan sepatutnya siap sepenuhnya pada April 2008 untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008. Bagaimana pun, ketika berlangsungnya Pra Sukma 2008 pada awal Mei, hanya 90 peratus pembinaannya disiapkan.

Stadium itu dikatakan memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri berikutan penggunaan spesifikasi moden, terkini dan berteknologi tinggi. Ia dikatakan stadium pertama di Asia menggunakan sistem bumbung tanpa kolum (space frame structure), yang mana kesemua 134 meter bumbungnya dibina tanpa tiang sokongan.

Bumbung yang didakwa tercanggih dan termoden itulah yang sekali lagi mencipta sejarah pagi 2 Jun lalu. Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di sayap timur stadium itu runtuh tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

Tidak syak lagi kejadian memalukan itu mendidihkan lagi politik dalaman BN Terengganu yang sedia bergelora itu. Pihak paling �selesa� ialah kem Ahmad. Mereka menggesa siasatan dilakukan dan orang bertanggungjawab dipastikan menerima akibatnya. Siapa lagi yang mereka tujukan jika bukan para pemimpin parti itu sendiri dari kem Idris?

Sudah menjadi adat pertarungan, yang menang selalu akan mengambil semua. Namun belum sempat siasatan dilakukan pihak berwajib dan belum pun dibuktikan bahawa bekas pemimpin kerajaan sessi lalu diketuai Idris memang bertanggungjawab terhadap runtuhnya stadium itu, giliran kem Ahmad pula terpukul.

Minggu lalu dua orang penting yang pernah menunjangi jawatankuasa Umno Terengganu pimpinan Ahmad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Seorang Ahli Dewan Negara dan seorang bekas ahli parlimen itu disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mereka yang pada ketika kejadian pada 1999 itu menjadi ahli lembaga pengarah syarikat kontraktor utama MRR2 dikatakan menerima wang berjumlah RM3 juta kononnya untuk mengisi dana Umno.

Sepertimana kes sms ugutan dan stadium runtuh tadi, keputusan akhir kes rasuah MRR2 ini juga masih belum diketahui. Bagaimana pun, jika dua kes terdahulu itu dianggap 'peluru' kem Ahmad membantai kem Idris, isu MRR2 ini pula menjadi 'peluru' kepada kem Idris.

Pihak mana pun yang dibantai dalam pertembungan itu, yang pastinya urutan kes itu adalah malang bertimpa buat BN Terengganu.

0 komen:

Template by - Abdul Munir