Monday, May 11, 2009

Umno T'ganu akan dirombak

Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan membuat rombakan kepimpinan Umno Terengganu selepas beliau menemui ketua-ketua Umno bahagian di negeri itu.

Keputusan itu dibuat selepas naib presiden Umno itu mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Said di pejabat Hishammuddin di Putrajaya hari ini.

Seorang pembantu Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, Hishamuddin akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian secepat mungkin.

hishamuddin hussein"Datuk Seri Hishammuddin hendak mendengar pandangan ketua-ketua bahagian terlebih dahulu sebelum membuat pelantikan baru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri dilantik sebagai pengerusi Umno Terengganu dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menggantikan Ahmad yang kini dilantik sebagai timbalan pengerusi Umno Terengganu.

Umno Terengganu menghadapi kemelut politik apabila 18 ADUN BN mahu Ahmad disingkirkan dari jawatan menteri besar.

Pandangan ketua bahagian

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad berkata, keputusan untuk mendengar pandangan dari ketua bahagian untuk melantik kepimpinan baru merupakan satu langkah yang tepat.

"Datuk Seri Hishammuddin perlu mendengar masalah sebenar yang berlaku di Terengganu dari ketua-ketua bahagian Umno.

"Kemudian beliau mengambil langkah mengatasinya. Bagi saya lagi cepat, lagi bagus," katanya.

Seorang ADUN Umno yang menentang Ahmad berkata, keputusan untuk mendengar pandangan dari ketua bahagian merupakan satu tindakan yang bijak dan dialu-alukan.

Bagaimanapun, kata ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, jika mahu mendengar pandangan mengenai menteri besar, semua ADUN BN perlu dipanggil.

"Tetapi oleh kerana ini urusan parti, cukuplah Datuk Seri Hishammuddin mendapatkan penerangan dari ketua-ketua Umno bahagian," tambahnya.

0 komen:

Template by - Abdul Munir