Saturday, May 09, 2009

Orang kanan Idris dikehendaki polis

Polis memberi 72 jam mulai petang ini kepada bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh untuk tampil membantu siasatan berhubung SMS ugutan kepada tiga ADUN Umno bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata jika Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata polis telah cuba mengesan bekas calon BN Marang itu di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal, lapor Bernama.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-62 46 222.

Ahmad Ramzi kini bertugas sebagai pegawai khas Idris, sekarang pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 13 April lepas, beberapa ADUN Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul
Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS , antaranya berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

Mesej ringkas itu kemudian dijadikan alasan mereka bertiga dan tujuh lagi ADUN Umno enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu keesokannya.

Dalam siasatannya, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.

Menurut agensi berita itu lagi, Hamzah berkata polis setakat ini mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

"Kita mengalukan kerjasama daripada keluarga Dr Ramzi untuk menasihatkan beliau supaya tampil bagi mempercepatkan siasatan berhubung kes tersebut," katanya.

0 komen:

Template by - Abdul Munir